12.09.2009

Faizal Tahir Tiada Rezeki

(Gambar: Faizal Tahir beraksi di konsert Fly FM 4th Anniversary Sabtu lalu)


Nampaknya, setiap kali tibanya musim Anugerah Juara Lagu (AJL), ada saja yang menghalang Faizal Tahir dari menjejakkan kaki di pentas berprestij itu.

Ingat lagi AJL22 lalu?

Meskipun “Kasih Tercipta” turut dicalonkan, lagu "Mahakarya Cinta"-lah yang menjadi sebutan ramai untuk meraih kemenangan besar, malah berpeluang menjulang gelaran Juara Lagu.

Tetapi ekoran insiden buka bajunya ketika konsert ulangtahun keempat 8TV, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia meletakkan hukuman yang melarang Faizal dari membuat sebarang persembahan, sama ada secara langsung atau rakaman, selama tiga bulan berkuatkuasa dua minggu sebelum apa yang sepatutnya merupakan malam kegemilangannya.

Ketiadaan Faizal pada malam itu memang dirasai semua yang sudah lama menantikan persembahannya, yang dijangka pasti gempak. Bagaimanapun tempatnya berjaya diisi dengan baik oleh Bob AF2 yang mendendangkan lagu “Kasih Tercipta” dan juara Mentor 2, Fiq yang ditugaskan membawa “Mahakarya Cinta”.

Persembahan Fiq, walaupun tidak mengecewakan, tetapi ternyata, masih ada sedikit kekurangan jika hendak dibandingkan dengan pembawaan Faizal. Senang cerita, kurang menyerlah lagu tersebut tanpa sentuhan Superman kita itu.
Namun, kekecewaan AJL22 berjaya ditebus pada tahun berikutnya. Sekali lagi mempertaruhkan dua buah lagu, “Cuba” dan “Sampai Syurga” dalam kategori Balada, kali ini, Faizal berjaya mendaki pentas AJL.

Dan seakan melepas geram atas kekalahan lalu, dia muncul pemenang besar di AJL23 apabila membawa pulang tiga trofi – Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan Juara Balada – untuk “Sampai Syurga”. Tetapi anugerah Juara Lagu terlepas ke tangan Meet Uncle Hussain dengan “Lagu Untukmu”.

Melihat pada kekuatan "Bencinta", bukan sesuatu yang mustahil untuk lagu nukilan Faizal ini dinobatkan sebagai Juara Lagu. Malangnya, kali ini bukan kontroversi yang menjadi penghalang tetapi kesihatan Faizal.
Selasa lalu, selepas mengadu sakit dada, Faizal telah dimasukkan ke hospital. Pemeriksaan awal menunjukkan jangkitan kuman pada paru-parunya.

Dapatkah Faizal pulih sepenuhnya untuk beraksi di AJL24? Persoalan itu hanya mampu dijawab doktor yang merawatnya. Yang pasti, ramai peminat sedang mendoakan agar Faizal cepat sembuh, memandangkan masih ada lebih kurang tujuh minggu sebelum AJL24 berlangsung.

Bukan tidak mempercayai kemampuan Shila (One In A Million 2) yang telah mempersembahkan “Bencinta” di Separuh Akhir Muzik-Muzik sehingga ia layak ke ‘final’ atau mana-mana penyanyi yang mungkin diberi tanggungjawab membawa lagu itu di AJL24 nanti jika kesihatan Faizal masih tidak mengizinkan, tetapi sememangnya tiada penyanyi lain yang memiliki ‘aura’ Faizal Tahir dan terbukti mampu membawa lagunya sepertimana dirinya.- Gua.com.my

No comments: