12.09.2009

Faizal Tahir Tiada Rezeki

0 comments
(Gambar: Faizal Tahir beraksi di konsert Fly FM 4th Anniversary Sabtu lalu)


Nampaknya, setiap kali tibanya musim Anugerah Juara Lagu (AJL), ada saja yang menghalang Faizal Tahir dari menjejakkan kaki di pentas berprestij itu.

Ingat lagi AJL22 lalu?

Meskipun “Kasih Tercipta” turut dicalonkan, lagu "Mahakarya Cinta"-lah yang menjadi sebutan ramai untuk meraih kemenangan besar, malah berpeluang menjulang gelaran Juara Lagu.

Tetapi ekoran insiden buka bajunya ketika konsert ulangtahun keempat 8TV, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia meletakkan hukuman yang melarang Faizal dari membuat sebarang persembahan, sama ada secara langsung atau rakaman, selama tiga bulan berkuatkuasa dua minggu sebelum apa yang sepatutnya merupakan malam kegemilangannya.

Ketiadaan Faizal pada malam itu memang dirasai semua yang sudah lama menantikan persembahannya, yang dijangka pasti gempak. Bagaimanapun tempatnya berjaya diisi dengan baik oleh Bob AF2 yang mendendangkan lagu “Kasih Tercipta” dan juara Mentor 2, Fiq yang ditugaskan membawa “Mahakarya Cinta”.

Persembahan Fiq, walaupun tidak mengecewakan, tetapi ternyata, masih ada sedikit kekurangan jika hendak dibandingkan dengan pembawaan Faizal. Senang cerita, kurang menyerlah lagu tersebut tanpa sentuhan Superman kita itu.
Namun, kekecewaan AJL22 berjaya ditebus pada tahun berikutnya. Sekali lagi mempertaruhkan dua buah lagu, “Cuba” dan “Sampai Syurga” dalam kategori Balada, kali ini, Faizal berjaya mendaki pentas AJL.

Dan seakan melepas geram atas kekalahan lalu, dia muncul pemenang besar di AJL23 apabila membawa pulang tiga trofi – Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan Juara Balada – untuk “Sampai Syurga”. Tetapi anugerah Juara Lagu terlepas ke tangan Meet Uncle Hussain dengan “Lagu Untukmu”.

Melihat pada kekuatan "Bencinta", bukan sesuatu yang mustahil untuk lagu nukilan Faizal ini dinobatkan sebagai Juara Lagu. Malangnya, kali ini bukan kontroversi yang menjadi penghalang tetapi kesihatan Faizal.
Selasa lalu, selepas mengadu sakit dada, Faizal telah dimasukkan ke hospital. Pemeriksaan awal menunjukkan jangkitan kuman pada paru-parunya.

Dapatkah Faizal pulih sepenuhnya untuk beraksi di AJL24? Persoalan itu hanya mampu dijawab doktor yang merawatnya. Yang pasti, ramai peminat sedang mendoakan agar Faizal cepat sembuh, memandangkan masih ada lebih kurang tujuh minggu sebelum AJL24 berlangsung.

Bukan tidak mempercayai kemampuan Shila (One In A Million 2) yang telah mempersembahkan “Bencinta” di Separuh Akhir Muzik-Muzik sehingga ia layak ke ‘final’ atau mana-mana penyanyi yang mungkin diberi tanggungjawab membawa lagu itu di AJL24 nanti jika kesihatan Faizal masih tidak mengizinkan, tetapi sememangnya tiada penyanyi lain yang memiliki ‘aura’ Faizal Tahir dan terbukti mampu membawa lagunya sepertimana dirinya.- Gua.com.my

12.08.2009

H1N1: Korea Utara sahkan kes pertama

0 comments

SEOUL: Korea Utara buat pertama kali mengesahkan wabak selesema babi (H1N1) melanda negara itu dengan sembilan kes setakat ini.

Kementerian Luar negara itu mengesahkan, sembilan kes itu ialah di ibu negara, Pyongyang dan Bandar Sinuiju, berhampiran sempadan China.

Agensi berita Korean Central malaporkan, pihak berkuasa Pyongyang sudah mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengadakan sistem kuarantin pesakit dan membendung virus daripada merebak.

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak pula memberitahu, kerajaannya sedia memberi bantuan dari segi perubatan kepada jirannya itu. - AFP - Berita Harian

Pesanan Pilu Ayah sebelum Maut

0 comments
Mangsa ragut yang terbunuh di ibu negara semalam sempat menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan gambar isteri bersama anak tunggalnya selain meninggalkan pesanan yang memilukan.

"Biar ayah ambil gambar Kasih (Zalifah Qistina) dengan ibu (Norehan Abd Rahman) sebab lepas ini Kasih dah tak boleh tengok ayah lagi," kata-kata itu diucapkan Abdul Rahman Mohd Khala'din, 34, sebelum menyerahkan anaknya, yang berusia 18 bulan, kepada kakak iparnya.

Kakak mangsa, Halimah Mohd Kala'din, 39, berkata sejurus selepas mengambil gambar itu, adiknya menyerahkan anak tunggal yang dipanggil Kasih kepada kakak iparnya di sebuah pusat beli-belah di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Kakak iparnya begitu terkejut kerana lima minit kemudian Abdul Rahman yang menunggang motosikal bersama isteri untuk ke tempat kerja terkorban menjadi mangsa ragut.

"Kakak ipar arwah yang berada di pusat beli-belah tersebut langsung tidak menyangka bahawa itu merupakan pesanan terakhir arwah buat Kasih dan Norehan," katanya kepada pemberita selepas jenazah Abdul Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Slim di Slim River kira-kira 2.40 petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, Abdul Rahman dan Norehan yang baru keluar dari pusat beli-belah itu dipercayai dihimpit dua peragut sebelum hilang kawalan motosikal sehingga merempuh pagar simen sebuah rumah menyebabkan mereka tercampak ke tepi jalan.

Abdul Rahman maut di tempat kejadian manakala Norehan cedera parah dan rantai lehernya turut dilarikan peragut.

Halimah berkata walaupun bersedih dengan peristiwa berkenaan, namun kaum keluarganya tetap bersyukur kerana ketika kejadian Kasih bersama kakak ipar arwah.

"Saya sendiri tidak boleh bayangkan jika Kasih turut membonceng motosikal itu. Mujurlah Kasih tidak bersama," katanya.

Katanya, kaum keluarga menerima peristiwa itu sebagai satu takdir, namun tetap berharap agar mereka yang terlibat dapat ditangkap.

"Kesan perbuatan peragut sangat dahsyat dan sebolehnya (kami) mahu mereka dihukum... menjadi pengajaran kepada orang lain," katanya. BERNAMA

12.07.2009

Presiden Indonesia: Ada pihak mahu jatuhkan saya

0 comments
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sekali lagi menyatakan secara terbuka kemungkinan sebuah pergerakan politik mahu menjatuhkan beliau dengan berselindung di sebalik perhimpunan menentang rasuah berkaitan skandal Bank Century.

"Setiap malam, saya memanjatkan doa bersama isteri dan keluarga saya," katanya semalam semasa berucap pada sidang kemuncak Parti Demokratik pimpinan beliau yang disiarkan melalui televisyen.

"Apa sebenarnya tujuan semua pembohongan dan perbuatan memburuk-burukkan peribadi saya ini? Logik saya mengatakan pergerakan politik ini mahu memburukkan nama saya, menggoncang kedudukan dan menjatuhkan saya dalam tempoh terdekat," katanya yang dipetik akhbar harian berbahasa Ingeris The Jakarta Post hari ini.

Susilo merujuk kepada tuduhan beberapa NGO, khususnya Barisan Demokrasi Rakyat (Bendera), kononnya beberapa orang yang rapat
dengan beliau termasuk anak lelakinya Edhie 'Ibas' Baskoro, telah memperoleh wang daripada urusan menyelamatkan Bank Century.

Usaha menyelamatkan bank itu melibatkan Rp 6.76 trilion (US$716 juta).

Susilo menggunakan ucapan itu untuk menafikan sekali lagi bahawa beliau dan sekutu rapatnya atau Parti Demokratik melakukan penyelewengan dalam urusan menyelamatkan bank itu.

Susilo berkata beliau telah diberi taklimat tentang satu perhimpunan yang dirancang diadakan pada 9 Dis bagi menyambut hari Antirasuah Antarabangsa, yang sebenarnya mempunyai "agenda politik tersembunyi" yang tiada kaitan dengan gerakan menentang rasuah.

"Tapi, saya bersyukur kepada Allah kerana telah mendapat maklumat yang agak lengkap tentang siapa yang mendalanginya dan tujuan sebenar perhimpunan pada 9 Dis ini," kata Susilo sambil menyelar individu serta kumpulan yang menyertai perhimpunan menentang rasuah dengan berkata sebenarnya mereka hanya menjadi penumpangnya semata-mata.

Bagaimanapun, Prabowo Subianto, pengasas Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), menolak tuduhan presiden itu dengan berkata partinya hanya ingin mendedahkan perkara sebenar di sebalik skandal Bank Century.

Ini adalah kes kedua yang didakwa secara terbuka oleh Susilo bertujuan menjatuhkan beliau.

Pada 17 Julai, berikutan kejadian letupan bom di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton pada hari yang sama, Susilo berkata beliau menjadi sasaran pengganas, yang juga akan menyerang suruhanjaya pilihan raya bagi menghalang peluangnya memenangi pilihan raya.

Prabowo juga menafikan dakwaaan Susilo itu.

Akhbar harian itu juga melaporkan bahawa oleh kerana ramalan itu tidak menjadi kenyataan, timbul tanggapan bahawa Susilo membuat kenyataan terbuka bagi mengelak berlakunya serangan atau beliau telah menerima maklumat risikan yang tidak tepat.

Pengerusi pergerakan Islam, Muhammadiyah, Din Syamsuddin berkata amaran yang dikeluarkan oleh Susilo kali ini mungkin betul, dan menegaskan bahawa: "Mereka yang menganggotai gerakan antikorupsi itu, sila tampil ke depan. Mereka yang bukan, jangan jadi ganggu."

Bekas timbalan pengerusi Komisi Pembenterasan Korupsi (KPK) Erry Riyana pula berkata kebimbangan Susilo bahawa gerakan menentang rasuah itu boleh digunakan bagi mencapai tujuan tersembunyi, tanpa menghiraukan kepentingan dan ketenteraman awam, memang mudah untuk difahami.

"Perkara paling penting ialah presiden tidak menghalang tunjuk perasaan pada 9 Dis diadakan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati mendakwa Susilo takutkan bayang-bayang sendiri dan menggesanya supaya berhenti daripada menggunakan helah lama kononnya menjadi mangsa pihak tertentu, demi meraih sokongan orang ramai.

"Saya benar-benar kesal dengan kenyataan beliau bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik gerakan 9 Dis," kata Fadjroel Rachman daripada Komisi Masyarakat Sipil Antikorupsi.

"Perhimpunan itu bertujuan menyambut semangat antikorupsi. Kalau presiden tidak bersalah, kenapa beliau perlu takut," kata beliau yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Beberapa akhbar harian utama lain juga menyiarkan laporan serupa di muka hadapan masing-masing hari ini. BERNAMA

dipetik dari malaysiakini.com