Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

1.11.2009

Jika Amerika pilih Obama, kenapa tidak Malaysia? - MB Kedah

1 comments
dipetik dari Suara Keadilan..

KUALA TERENGGANU, 11 JANUARI -DALAM kempenya di sini, Menteri Besar Kedah Azizan Abd Razak mengajak pengundi Kuala Terengganu untuk memilih calon Pas Abdul Wahid Endut sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Menurut beliau, rakyat Amerika telah berani membawa perubahan untuk memilih Barack Obama sebagai Presiden.

“Jika rakyat Amerika berani berubah, Malaysia bila lagi?” katanya dihadapan pengundi di Markaz UPU Hiliran di kawasan Kuala Terengganu, malam tadi.

Laman kempen Pas, memetik Menteri Besar itu berkata, rakyat Terengganu harus sedar bahawa negeri itu kaya dengan pelbagai sumber, namun kerana pengurusan yang salah, ianya hasil kekayaan sumber itu tidak sampai kepada rakyat.

“Rakyat kita mula menolak BN yang dilihat tidak mampu mengurus tadbir negara dengan baik setelah peluang 51 tahun diberi mandat memerintah dipersia-siakan oleh mereka,” katanya.

Mengenai balak, Azizan berkatra, sekiranya negeri berkenaan menjalankan pengurusan balak yang betul, ianya akan memberikan keuntungan yang besar terhadap negeri ini.

Memberi contoh di Kedah, Azizan berkata, negeri berkenaan menerima RM16 juta apabila kerajaan menggunakan sistem tender terbuka.

Tambahnya, Berbanding dengan ‘close tender’ yang diamalkan BN sewaktu mentadbir Kedah sebelum ini, hasil yang diperolehi hanya RM3 juta.

“Keuntungan RM16 dari ‘open tender’ yang diperolehi ini dapat diberi kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya lagi.



'Gencatan senjata' PAS-BN demi Palestin-Malaysiakini

0 comments
Dua parti utama PAS dan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu diseru mengadakan "gencatan senjata" sehari Khamis depan demi menyedarkan rakyat tentang kekejaman Israel kini.

"Gencatan" itu termasuklah memberhentikan kempen selama 24 jam dan mengadakan solat hajat serta tahlil bagi menunjukkan simpati kepada nasib penduduk Palestin, kata penyelaras Aman Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir.

"Kita bukan berperang tetapi saya guna analogi 'gencatan senjata' itu bagi kita menangguhkan kempen sekejap selama 24 jam dan guna hari itu untuk menyedarkan rakyat tentang apa yang berlaku di Palestin.



"Mungkin kita boleh buat solat hajat pada Khamis malam Jumaat, buat tahlil dan tak payah kempen pada hari itu. Cuma buat apa yang patut untuk tunjukkan rasa simpati kepada saudara seagama di Palestin," katanya, lapor Bernama.

Mukhriz, yang juga calon ketua Pemuda Umno, berkata demikian semalam selepas pelancaran Tabung Bantuan Palestin kawasan Bukit Payung, di pinggir kawasan pilihanraya kecil itu.

Tambahnya, satu tribunal perang juga perlu diwujudkan segera di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membicarakan pemimpin-pemimpin Israel yang terlibat secara langsung dengan jenayah perang tersebut seperti yang pernah dilakukan terhadap Yugoslavia.

Tindakan itu satu cara terbaik untuk memberi amaran kepada Israel supaya mengelak daripada terus melakukan keganasan kepada rakyat Palestin sehingga mengorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa terutama kanak-kanak, katanya lagi.

Mukhriz berkata, seramai 10 orang doktor dari Aman Malaysia telah bersedia pada bila-bila masa untuk ke Palestin bagi membantu mangsa kekejaman Israel.

Selain itu, beliau turut kesal apabila ada pihak yang cuba perlekehkan saranan supaya rakyat Malaysia memboikot barangan keluaran Amerika dan Israel kerana ia dikatakan tidak akan menjejaskan kuasa besar ekonomi dunia itu.

1.09.2009

BN Diskriminasi Rakyat Terengganu-Suara Keadilan

0 comments
BARISAN NASIONAL (BN) tidak menghormati rakyat Terengganu kerana mempolitikan wang royalti minyak negeri berkenaan, menurut Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Menurut Tian Chua, sewaktu Terengganu dibawah kepimpinan Pas, kerajaan pusat yang dipimpin oleh BN menarik balik wang royalti yang sebelum ini telah diberikan.

“Namun Barisan Nasional tidak menghormati mandat rakyat, apabila PAS memerintah Barisan Nasional bekukan dan tidak diberi royalti minyak itu kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat Terengganu,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Tambah Tian, sepatutnya wang royalti harus diberikan kepada rakyat tanpa memikirkan siapa yang memerintah negeri berkenaan, sebaliknya BN menyekat pemberian berkenaan kerana pemerintahan bertukar.

“Ketika itu, yang menjadi mangsa, bukan sahaja ahli Pas tetapi ahli Umno dan BN kami tidak bersetuju dengan cara berkenaan,” katanya kepada media.

Selain itu dalam isu wang royalti, Tian turut mempersoalkan di manakah baki RM 1.6 bilion dari jumlah RM 7 bilion wang royalti minyak tahun 2004 hingga 2007.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menyerahkan RM 400 juta wang royalti kepada kerajaan Terengganu selepas ianya disekat beberapa tahun. Manakala kerajaan pusat dalam jawapan di Parlimen telah mendedahkan bahawa RM 7 billion wang royalti telah diserahkan kepada Terengganu.

Namun, bekas Menteri Besar Idris Jusoh telah menafikan jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Amirsham Abdul Aziz, bahawa kerajaan hanya memberi RM 5 Bilion sahaja kepada Terengganu.

“Baru-baru ini, Najib telah serah RM 400 juta sebagai sebahagian sumbangan royalti, tapi masih ada RM 1.6 bilion yang belum diketahui dimanakah wang tersebut,”katanya.

Katanya lagi, wakil-wakil Pakatan Rakyat di parlimen mendesak kerajaan pusat mengembalikan wang dan pemberian royalti minyak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu.

“Kita tidak kira siapakah yang memerintah tapi yang penting ia adalah hak rakyat Terngganu, wang berkenaan harus dikembalikan,” katanya lagi.

Calon BN sombong, Umno tak reti pilih calon - Tun Mahathir

2 comments

1. Pilihanraya kecil di Kuala Terengganu ini sepatutnya tidak dianggap penting.

2. Samada Barisan Nasional menang atau kalah Kerajaan Terengganu tak akan berubah.

3. Saya ditanya oleh pemberita akan pendapat saya.

4. Sebagai orang yang tidak berparti saya tidak terikat dengan sesiapa.

5. Pada pandangan saya PAS atau UMNO pada waktu ini sama sahaja.

6. PAS bukan alternatif kerana dilihat PAS sanggup membelakangkan prinsip-prinsipnya kerana nak jaga hati parti komponen Pakatan. Orang yang tidak pegang kepada prinsip tidak boleh dipercayai.

7. Sebagai contoh PAS bersetuju babi diternak di kampung Melayu kerana larangan agama hanya untuk tidak makan daging babi.

8. Ternak tak apa.

9. Sentuh pun tak apa.

10. Jual pun tak apa kerana ini tidak disebut di dalam Al-Quran.

11. Soalnya apakah sensitiviti orang Melayu tidak perlu diambil kira?

12. PAS juga tak bercakap banyak sekarang berkenaan hukum hudud.

13. Katanya ini rancangan 30 tahun.

14. Demikian juga PAS sanggup beri hakmilik tanah secara berkekalan untuk mendapat sokongan orang Cina.

15. Dasar negara sekarang tanah tidak boleh diberi kepada sesiapa pun secara berkekalan, samada Cina, Melayu atau India.

16. Tetapi PAS sanggup membelakangkan dasar negara hanya untuk mendapat sokongan orang Cina. British tidak pernah beri kawasan "New Village" kepada setinggan yang ditempatkan di situ. Tidak ada geran yang dikeluarkan oleh British kepada penduduk New Village. Tetapi pemimpin PAS sanggup bohong kononnya British memberi tanah secara berkekalan kepada setinggan Cina.

17. Semua ini menunjukkan PAS bukan parti yang berprinsip dan bukan pun ikhlas dalam memperjuangkan Islam. PAS tidak boleh dipercayai oleh sesiapa. Ia sanggup "bend backwards" untuk kepentingan politik semasa.

18. UMNO pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon UMNO tidak memperdulikan sentimen rakyat.

19. Dan calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang.

20. Dalam Pilihanraya kecil ini pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema.

21. PAS pun bukan pilihan yang baik, UMNO pun bukan pilihan yang baik.

22. Telan mati Mak, luah mati Pak.

23. Mungkin calon bebas akan dapat undi yang lebih dari sepatutnya. / Chedet.cc


Telan mati Mak, luah mati Pak, calon bebas akan dapat 'kuah lebih'

dipetik dari klpos.com

hatta says : Tun Mahathir pn tak setuju...

MCA persoal DAP sokong PAS, tapi bantah hudud

0 comments
dipetik dari Malaysiakini..

MCA mempersoalkan pendirian DAP berkempen untuk PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sedangkan parti itu menolak pelaksanaan hukum hudud.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh yang membantah pelaksanaan hukum hudud, bercanggah dengan tindakan parti itu sendiri yang membantu PAS berkempen pada pilihanraya kecil kali ini, lapor Bernama.

"Kalau DAP anggap dirinya mempunyai kredibiliti, DAP perlu memaklumkan

kepada rakyat apa pendirian sebenar mereka. Apa yang dibuat di Kuala Terengganu bercanggah dengan kenyataan pengerusi DAP.

"Rakyat berhak tahu apa sebenar yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog dengan pemimpin masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu di Kuala Terengganu.

Semalam, Karpal Singh turut mempersoalkan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara, adalah mengelirukan.

Karpal dilaporkan meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS hanya terpakai kepada orang Islam atau juga melibatkan mereka yang bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam.

Ong berkata PAS sebenarnya takut hendak menjelaskan sama ada pelaksanaan hukum hudud hanya tertakluk kepada mereka yang beragama Islam dan hanya menggunakan parti pembangkang lain seperti DAP and PKR untuk membuat penjelasan yang tidak mencerminkan hasrat sebenar PAS dalam perkara itu.

Ini terbukti, menurut Ong, apabila PAS memerintah Terengganu pada 1999 sehingga 2004, meluluskan Rang Undang-Undang mengenai pelaksanaan hukum hudud walaupun menyedari hakikatnya ia tidak dapat dilaksanakan tanpa persetujuan Parlimen.

"Mereka sedia maklum, ini hanya dapat dilaksanakan di peringkat Parlimen, bukan Dewan Undangan Negeri. Walaupun faham hakikat ini, dia buat juga. Jadi

bila tak dapat dilaksanakan, rakyat Terengganu berhak nak tahu apa sudah jadi," katanya.