1.09.2009

BN Diskriminasi Rakyat Terengganu-Suara Keadilan

BARISAN NASIONAL (BN) tidak menghormati rakyat Terengganu kerana mempolitikan wang royalti minyak negeri berkenaan, menurut Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Menurut Tian Chua, sewaktu Terengganu dibawah kepimpinan Pas, kerajaan pusat yang dipimpin oleh BN menarik balik wang royalti yang sebelum ini telah diberikan.

“Namun Barisan Nasional tidak menghormati mandat rakyat, apabila PAS memerintah Barisan Nasional bekukan dan tidak diberi royalti minyak itu kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat Terengganu,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Tambah Tian, sepatutnya wang royalti harus diberikan kepada rakyat tanpa memikirkan siapa yang memerintah negeri berkenaan, sebaliknya BN menyekat pemberian berkenaan kerana pemerintahan bertukar.

“Ketika itu, yang menjadi mangsa, bukan sahaja ahli Pas tetapi ahli Umno dan BN kami tidak bersetuju dengan cara berkenaan,” katanya kepada media.

Selain itu dalam isu wang royalti, Tian turut mempersoalkan di manakah baki RM 1.6 bilion dari jumlah RM 7 bilion wang royalti minyak tahun 2004 hingga 2007.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menyerahkan RM 400 juta wang royalti kepada kerajaan Terengganu selepas ianya disekat beberapa tahun. Manakala kerajaan pusat dalam jawapan di Parlimen telah mendedahkan bahawa RM 7 billion wang royalti telah diserahkan kepada Terengganu.

Namun, bekas Menteri Besar Idris Jusoh telah menafikan jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Amirsham Abdul Aziz, bahawa kerajaan hanya memberi RM 5 Bilion sahaja kepada Terengganu.

“Baru-baru ini, Najib telah serah RM 400 juta sebagai sebahagian sumbangan royalti, tapi masih ada RM 1.6 bilion yang belum diketahui dimanakah wang tersebut,”katanya.

Katanya lagi, wakil-wakil Pakatan Rakyat di parlimen mendesak kerajaan pusat mengembalikan wang dan pemberian royalti minyak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu.

“Kita tidak kira siapakah yang memerintah tapi yang penting ia adalah hak rakyat Terngganu, wang berkenaan harus dikembalikan,” katanya lagi.

No comments: