1.11.2009

Kes rogol babitkan pelajar di Kedah membimbangkan-Malaysiakini

Statistik kes rogol membabitkan pelajar di Kedah sepanjang tahun lalu berada pada tahap yang membimbangkan dengan 226 kes direkodkan, daripada keseluruhan 309 kes, yang kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kes rogol membabitkan pelajar merupakan masalah sosial yang harus dibendung dan memerlukan pendekatan menyeluruh bukan saja dari aspek undang-undang malah perlu melibatkan institusi keluarga dan pendidikan, lapor Bernama.

Katanya daripada 226 kes itu, sebanyak 187 kes membabitkan pelajar berusia 12 hingga 16 tahun, manakala 39 kes lagi membabitkan pelajar berusia 17 hingga 18 tahun.

"Jumlah kes rogol membabitkan pelajar itu adalah kira-kira 74 peratus daripada keseluruhan kes rogol sepanjang tahun lalu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Star hari ini.

Di majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 80 anggota polis.

Syed Ismail berkata rekod juga menunjukkan empat kes kejadian rogol tanpa kerelaan membabitkan pelajar bawah 18 tahun.

"Jenayah rogol membabitkan pelajar itu berpunca daripada kerelaan gadis terbabit yang mengikut teman lelaki," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa memainkan peranan penting termasuk mengambil tahu ke mana anak mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan.

Terdahulu, Syed Ismail turut melancarkan laman blog 'Baka' khusus untuk anggota dan pegawai PDRM dalam usaha mengurangkan masalah disiplin pasukan itu.

Katanya, anggota serta pegawai yang menghadapi masalah atau memerlukan khidmat kaunseling atau nasihat boleh melayari laman blog berkenaan.

No comments: